MAHASISWA MENGGUGAT, TAHUN 1960 HINGGA 1979
Rampasan Kuasa Di Universiti
Tindakan yang paling radikal dilakukan oleh
gerakan mahasiswa di negara ini ialah merampas kuasa dan menawan kampus
daripada pihak berkuasa dan pentadbir kampus. Dua peristiwa rampasan kuasa mengemparkan
negara ialah rampasan kuasa di universiti Malaya ekoran peristiwa Tasek Utara
dan rampasan kuasa di Institut Teknologi Mara(sekarang UiTM) kerana peraturan
ketat.
Memahami
Konsep Rampasan Kuasa
Secara umum, rampasan kuasa atau coup d’etat dimaknai sebagai satu usaha
yang dilakukan dengan menggunakan kekerasan atau ugutan untuk menukar kerajaan
demi perubahan pentadbiran dari peringkat akar umbi sehingga ke peringkat
pusat.[1]
Ia biasa dilakukan oleh pihak tentera.
Perkataan rampasan kuasa dipercayai digunakan
mulai tahun 1811, setelah Napoleon merampas kuasa dalam Revolusi Perancis pada
tahun 1799.
Pengkaji ketamadunan, Samuel P Huntinton
membahagikan rampasan kuasa kepada beberapa jenis. Pertama Breakthrough coup d’ etat iaitu rampasan kuasa yang hanya berlaku
sekali dan membawa satu ideologi yang mahu dikembangkan. Contoh revolusi China
yang meruntuh kerajaan beraja, Dinasti Manchu.
Kedua, guardian
coup d’etat iaitu rampasan kuasa yang dilakukan untuk menjaga keamanan dan
kepentingan matlamat untuk memulihkan
serta mepertingkatkan kehendak rakyat.
Rampasan ini juga cuba menghapuskan korupsi, nepotisme dan kronisme. Ia
bertujuan menwujudkan kerajaan yang lebih baik. Sebagai contoh, kebangkitan
Reformasi di Indonesia menjatuhkan Presiden Suharto.
Ketiga, veto
coup d’etat yang dilakukan oleh tentera membatalkan penyertaan masyarakat
dan mobilasasi tentera dalam kerajaan. Contoh, tentera Chile menjatuhkan
Presiden Salvador Allende Gossens yang dipilih oleh rakyat.
Jenis terakhir, bloodless coup d’etat yang bertunjangkan kepada perjuangan tanpa
kekerasan. Menubuhkan kerajaan tanpa penentangan. Contoh rampasan kuasa tentera
Thai terhadap Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Dalam konteks gerakan mahasiswa, hemat saya
mengariskan rampasan kuasa di universiti ialah satu rampasan kuasa menjatuhkan
pentadbiran universiti menyebabkan campurtangan kerajaan, dimana kawalan kampus
di bawah kekuasaan gerakan mahasiswa. Kampus dikawal oleh gerakan mahasiswa,
pergerakan dalam kampus dikawal, pintu pagar dijaga dan dikuasai oleh
mahasiswa. Suasana ini menimbulkan ketegangan antara gerakan mahasiswa dengan
kerajaan.
Dalam sesebuah rampasan kuasa kampus,
ketokohan pemimpin mahasiswa, kerjasama anggota ketumbukan mahasiswa dan mood
mahasiswa di kampus banyak mempengaruhi rampasan ini.
Rampasan
Kuasa di Universiti Malaya pada tahun 1974
Dalam peristiwa setinggan Tasek Utara,
pimpinan pelajar seperti Hishamuddin Rais, Abu Zer Ali, Yunus Ali dan Adi
Satria telah ditangkap bersama pimpinan Parti Sosialis Rakyat Malaysia(PSRM)
iaitu Setiausaha Agung PSRM Pusat, Syed Hamid Ali, Mohd Amin Ahmad(Setiusaha
PSRM Johor) dan Majid Yaakob(pemimpin tempatan) pada 19 September 1974 atas
alasan menganggu tugas pegawai kerajaan.
Penangkapan itu menyebabkan PMUM
berdemonstrasi selama 3 hari di depan Pejabat Perdana Menteri bagi mendesak
kerajaan membebaskan sahabat mereka yang ditangkap. Perdana Menteri, Tun Abdul
Razak enggan menemui wakil PMUM. FRU telah menyerang peserta demonstrasi
menyebabkan pelajar melarikan diri.
Sekembali daripada demonstrasi, PMUM telah
merampas kuasa dengan mengambil alih pentadbiran Universiti Malaya pada 21
September 1974. Di bawah pimpinan Presiden PMUM, Kamarazaman Yaakob bersama
2000 orang pelajar menyerbu bangunan Canselori, pintu masuk universiti dan tempat
strategik yang lain. PMUM telah berbincang dengan Pemangku Naib Canselor, Ahmad
Ibrahim dan Pengerusi Majlis Universiti, Syed Alwi Syed al Hadi agar
menyerahkan kuasa pentadbiran sementara kepada PMUM.
PMUM
mengadakan mesyuarat tergempar dengan Jawatan Kuasa Asrama dan badan gabungan
PMUM. Presiden menerangkan matlamat rampasan kuasa itu ialah mengharapkan
Canselor Permaisuri Agung berbincang dengan PMUM supaya membebaskan semua
mereka yang ditangkapm dalam isu setinggan Tasek Utara. PBMUM dan PMIUM turut
serta dalam mesyuarat itu tetapi menarik diri setelah mesyuarat tersebut
bersetuju membentuk Majlis Tertinggi Sementara(MTS) PMUM. PMUM bercadang
mengadakan majlis penerangan pada malam itu di Dewan Tunku Canselor(DTC).
Pada malam itu, suasana kecoh telah berlaku
apabila sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka sebagai Majlis
Tindakan Nasional (MTN) telah menyerbu Rumah Persatuan PMUM dan menangkap
Presiden PMUM. MTN berjaya melakukan counter-rampasan pada jam 8.00 malam bagi
membolehkan Universiti Malaya dibuka pada esoknya. MTNyang didokongi oleh
kelompok nasionalis membahagikan tiga ketumbukan. Objektif merek ialah merampas kuasa daripada
golongan Sosialis sebelum jam 9.00 malam. Pada jam 8.45 malam, ketumbukan MTN
menawan rumah persatuan dan pusat keselamatan. Ketumbukan lain menawan pintu
masuk universiti
Menurut Kamarazaman Yaakob, Presiden PMUM sesi
1973/74, MTN bertindak ganas telah mengugut dan ‘menculik’ beliau dan ahli
Majlis PMUM di rumah persatuan sebelum dibawa ke DTC. MTN menggunakan keris,
pisau, rantai dan kayu berpaku bagi mengertak anggota MTS.Di DTC, Aziz
Shamsudin, Presiden PBMUM mendesak Presiden PMUM menarik balik rampasan kuasa
dan Ungku Aziz memainkan isu bahasa sehingga mencetuskan suasana tegang. Suasana
tegang tersebut menyebabkan Presiden PMUM mengambil keputusan menarik balik
rampasan kuasa.
Pada 22 September 1974, MTN telah menyerah
kuasa pentadbiran kepada pihak pentadbir universiti. MTN mendapat sokongan
PBMUM, PMIUM dan Kelab Silat Gayung Universiti Malaya(KSGUM). Presiden MTN,
Ahmad Abdul Latif dan timbalannya Hamzah Zainuddin menjelaskan counter-rampasan
dilakukan bagi menghalang huru-hara di kampus apabila ditemui minit mesyuarat
dan alatan untuk membuat molotov milik PMUM. Pengaruh kerajaan dalam MTN
kelihatan apabila MTN mendapat sokongan penuh daripada kerajaan terutamanya
Ghazali Shafie dan Dr. Mahathir. PBMUM pula menyokong MTN kerana tidak mahu
MTS diperkudakan oleh pelajar sains yang ingin mengugurkan pelaksanaan Bahasa
Melayu.
Suasana di kampus masih tidak stabil apabila
pelajar di kolej-kolej tertentu masih lagi setia kepada pimpinan PMUM. Presiden
Kolej kelima, Salehuddin Hashim dan pelajar kolej tersebut menghalau pihak MTN
yang mengunjungi kolej mereka. Bagi membasmi pengaruh PMUM, pihak
pentadbiran telah bertindak tegas ke atas ahli Kelab Sosialis yang terlibat
dalam rampasan kuasa itu.
Tindakan susulan yang dahsyat oleh pihak pentadbiran
universiti dengan mengantung PMUM pada 25 September 1974 di bawah Seksyen
16 Akta 30. Kerajaan menyokong tindakan Majlis Universiti mengantung PMUM
dan sebuah pertubuhan yang dikenali Badan Pemulihan Sementara diwujudkan bagi
menjamin kebajikan pelajar. Namun, pada 26 September 1974, PMUM menghantar
memorandum agar keputusan Majlis Universiti ditarik balik. Kamarazaman Yaakob
menyatakan keputusan itu tidak sah kerana menyalahi Perkara 6 Ceraian 51
perlembagaan universiti.
Rampasan
Kuasa Mahasiswa di Institut Teknologi Mara.
Selepas pindaan AUKU 1975, gerakan pelajar
semakin permisive terhadap isu nasional dan kampus. Walau bagaimanapun, dunia
pelajar digemparkan apabila pelajar ITM Shah Alam dan kampus Jalan Othman,
Kuala Lumpur merampas kuasa pada 6 Januari 1976. Kejadian ini merupakan
peristiwa pertama bagi gerakan pelajar menggugat kembali keabsahan kuasa AUKU.
Rampasan ini berlaku apabila pelajar tidak berpuas hati terhadap pimpinan Dato
Lokman Musa mengetatkan disiplin pelajar terutamanya etika pemakaian yang
melarang pelajar berambut panjang.
Mulai 5 Januari 1976, peraturan tatatertib
baru bagi pelajar ITM akan dikuatkuasakan. Ramai pelajar tidak bersetuju kerana
bertentangan dengan hak asasi seseorang pelajar. Bagi pelajar lelaki, potongan
rambut tidak melebihi kolar, dilarang memakai selipar dan baju panas semasa
kuliah, dilarang memakai pakaian olahraga di dewan makan. Pelajar lelaki harus
memakai tali pinggang hitam, baju kemeja dan kasut. Pelajar wanita tidak
dibenarkan memakai pakaian menjolok mata seperti mini skirt, pakaian jarang
atau terlalu ketat. Dato Lokman memberi amaran sesiapa yang ingkar akan dihukum
seperti dilarang daftar, amaran, denda $200, gantung atau disingkir.
Cadangan Dato Lokman dikecam hebat oleh
KSITM. Pelajar mempersoalkan tindakan Dato Lokman kerana hanya golongan
minoriti yang berambut panjang. Dato Lokman hanya mementingkan perkara remeh
dan pemakaian seseorang padahal persoalan ini bukanlah penentu moralnya.
Pemimpin KSITM, Rosman Abdul Hamid menegaskan KSITM telah melakukan perubahan
drastik dengan mengharamkan judi, majlis tari menari pada tahun 1972. Mantan
Presiden KSITM, Ibrahim Ali, menyatakan pihak pentadbir perlu menyeru dan
menggalakkan pelajar mengikuti peraturan bukannya mengambil tindakan sekeras
itu. Apa gunanya dilakukan di dalam kampus jika di luar kampus terdapat arak,
rasuah dan tarian bogel di kelab malam masih dibenarkan. Tindakan Dato
Lokman dilihat tidak perlu kerana KSITM telah menubuhkan kumpulan dakwah bagi
mengatasi gejala sosial.
Kebebasan pelajar telah disekat dan pelajar telah
menjadi remaja ke sekolah telah menjatuhkan imej ITM sebagai institusi
pengajian tinggi yang berasaskan kebebasan intelektual.
Pada 5 Januari 1976, ITM dibuka untuk penggal
pertama, pelajar senior mula tunjuk perasaan bagi membantah cara pentadbir
melaksanakan peraturan disiplin. Mereka bertindak tidak mendaftar diri untuk
kuliah kecuali pentadbir menarik balik arahan sebagaimana dituntut KSITM.
Seramai 1000 orang pelajar terlibat dalam demonstrasi di dataran berhampiran
Pejabat Pentadbiran ITM pada pukul 9.00 pagi. Presiden KSITM, Abdullah Baba
menyatakan tindakan pentadbir ITM tidak berunding terlebih dahulu dengan KSITM
menyebabkan protes tersebut. Sebaliknya peraturan tersebut diperbesarkan dalam
media massa dan ia memberi gambaran buruk kepada pelajar dan KSITM.
KSITM
telah memperjuangkan pemurnian akhlak dikalangan pelajar sejak tahun 1971.
Perkara yang dituntut KSITM adalah;
a. denda $200 adalah keterlaluan sedangkan
pelajar hanya menerima elaun $20
sebulan.
b. Jumlah wakil pelajar telah dikurangkan
dalam jawatankuasa[56] tersebut
daripada 6 kepada 3 adalah tidak relevan
c. Jawatankuasa itu dipengerusi oleh Dato
Lokman sendiri adalah sesuatu
yang tidak adil.
Menurut Syed Osman, KSITM tidak menentang
keseluruhan cadangan tersebut tetapi cara pelaksanaan kurang baik terutamanya
ia diluluskan oleh pihak pentadbiran tanpa perbincangan dengan KSITM.
Pada 7 Januari 1976, ITM Kuala Lumpur telah
ditutup apabila pelajar telah menguasai dan mengambil alih kampus di Shah Alam
dan Jalan Othman di Petaling Jaya. Seramai 4000 hingga 5000 pelajar menguasai
kampus. Dato Mansor sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pentadbir ITM menjelaskan
tindakan itu disebabkan pelajar menggunakan ‘tindakan paksaan’ dalam proses
pendaftaran pelajar senior selama dua hari. Pelajar di dalam kampus kekurangan
bekalan makanan dan pelajar yang ingin membeli makanan telah dihalang oleh
pelajar senior. Para pemberita yang cuba mendekati pagar telah dikejar oleh
pelajar.
KSITM telah menafikan keterlibatan mereka
dalam penguasaan kampus itu. Presiden KSITM, Abdullah Baba menyatakan pihaknya
tidak menghalang pelajar dan pensyarah balik ke kampus. Walau bagaimanapun,
KSITM tidak mengiktiraf keputusan Dato Lokman berikutan sidang tergempar pada 6
Januari oleh Dewan Siswa KSITM. KSITM kesal dan terperanjat apabila Dato
Mansor menutup ITM. KSITM telah meminta Menteri Dalam Negeri, Dato Ghazali
Shafie tidak menggunakan badan beruniform dalam menyelesaikan isu ini.
KSITM hanya bertindak sebagai pentadbir keselamatan dan kebajikan pelajar
apabila pihak pentadbiran meninggal kampus jam 2.30 petang pada 6 Januari.
Pada 9 Januari, seramai 3000 orang pelajar
telah keluar dari kampus jam 4 pagi tetapi pihak pentadbir masih tidak
dibenarkan masuk. Pelajar yang meninggalkan kampus telah dicaci. Pihak
pentadbir cuba memujuk pelajar yang belum meninggalkan kampus dan memberi
amaran mereka tidak akan dibenarkan mendaftar diri bila kampus dibuka. KSITM telah menyerah kepada Dato Mansor bagi menyelesaikan isu ini setelah
perbincangan selama 5 jam. Pelajar mengemukakan beberapa penyelewengan seperti
masalah keciciran pelajar dan penggunaan duit pelajar mesyuarat pentadbiran di
Bukit Fraser.
Pada 10 Januari 1976, perwakilan pelajar
bersama Pemangku Presiden Majlis Belia Malaysia, Azaham dan Dato Lokman cuba
memujuk pelajar. Dato Lokman merayu sebanyak dua kali agar 120 pelajar menyerah
diri dan kedegilan mereka menyebabkan mereka disingkir. Semasa suasana tegang
ini, polis menyerbu masuk ke dalam kampus terutamanya di asrama kedua iaitu
pusat gerakan pelajar.
Dr Mahathir selaku Menteri Pelajaran
mengelarkan pelajar tersebut Gestapo yang memakai kain kuning di kepala sebagai
pengecut kerana cabut lari meninggalkan kumpulan dakwah dan wanita. Gestapo
seramai 200 orang ini mengugut menelanjang dan mencincang perempuan. Gestapo ini adalah sekumpulan pelajar radikal dan militan. Perkara ini terbukti
dengan penemuan senjata seperti kapak dan peluru.
Tindakan pelajar ITM merampas kuasa dengan isu
rambut mengecewakan kerajaan kerana kerajaan kerugian $100,000 sehari. Tindakan pelajar itu dikecam oleh badan bukan kerajaan seperti PERTIWI dan
Lembaga Kebajikan Perempuan Islam. Ketua Satu PERTIWI(Zakiah Hanum) sebagai
contoh mengatakan pelajar berambut panjang tidak manis dan melanggar
tatasusila orang Melayu. Kenyataan PERTIWI bersifat hipokrit kerana PERTIWI
sendiri pernah mendesak kerajaan membatalkan arahan pemakaian tudung di sekolah
kerana tidak praktikal dan mahal. PMIUPM turut mengkritik keras tindakan
pelajar ITM. Setiausaha Agung PMIUPM, Zaki Ayoub menjelaskan tindakan pelajar
ITM itu mempertahankan amalan menyimpan rambut panjang sebagai amalan
jahiliah.
Walau bagaimanapun, PMIUM dam PMUKM telah
menyokong tindakan pelajar ITM. PMIUM telah menyatakan tindakan pentadbir ITM
sebagai mencabul hak kebebasan pelajar. Sokongan terbuka PMIUM dinyatakan
dengan menghantar surat bantahan kepada akhbar tempatan dan pihak pentadbir
ITM. PMIUM melihat krisis tersebut tidak mengancam keselamatan dan boleh
diselesaikan dengan diplomasi. Penjelasan PMIUM disokong dengan kenyataan
pengawal keselamatan yang menyatakan pelajar tidak melakukan perkara buruk dan
pelajar hanya tidak menyukai Dato Lokman. Walaupun pos pengawal di pos bulatan,
asrama 1 dan 2 diambil alih oleh pelajar, pengawal keselamatan tetap dibenarkan
bertugas.
PMIUM menyokong usaha KSITM mendapat hak
sebagai kesatuan yang mewakili pelajar ITM. PMIUM juga mendesak Dato Lokman
meletakkan jawatan dan menerima pandangan KSITM yang tidak mengiktiraf
kepimpinan Dato Lokman. Sokongan PMIUM merupakan sokongan yang berterusan.
PMIUM kesal penyingkiran 45 pelajar ITM pada 10 Februari 1976 yang disyaki
perancang rampasan kuasa tersebut. Tindakan menemuduga semula pelajar adalah
tidak adil dan bertujuan buruk yang jelas bertentangan dengan hak pelajar yang
sah di sisi undang-undang perlu dihentikan.
Pada 9 Februari 1976, Menteri pelajaran telah
menubuh Jawatankuasa Penyiasat Krisis ITM bagi menyiasat kejadian itu.
PMIUM meragui ketelusan jawatankuasa ini sebagai badan bebas. PMIUM mengusulkan
agar satu badan bebas yang dianggotai badan pelajar dan belia kerana golongan
ini dilihat bersungguh-sungguh untuk mencari penyelesaian yang adil.